comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pokok tumbang hempap 3 kereta

Foto: Ihsan Bomba

Oleh Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Kejadian ribut serta hujan lebat selama hampir satu jam petang tadi menyebabkan sebatang pokok tumbang dan menghempap tiga buah kereta di Simpang 4, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai petang tadi.

Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II Faisal Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 3.12 petang tadi.

Katanya pokok setinggi enam meter itu turut menyebabkan laluan trafik terhalang dan mengalami kesesakan di lokasi.

“Seramai sembilan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai bersama jentera FRT dan dan sebuah jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi kejadian.

Foto: Ihsan Bomba

“Setibanya pasukan keluaran operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati terdapat sebatang pokok kira-kira enam meter telah tumbang dan menghempap tiga buah kereta.

“Kesemua mangsa di dalam kenderaan telah berjaya keluar dengan sendiri sebelum PKO tiba di lokasi.

“PKO bertindak memotong pokok dengan menggunakan dua unit gergaji berantai sehingga selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, beberapa jalan utama termasuk Kempas, Skudai dan Lebuhraya Pasir Gudang sesak teruk susulan pokok tumbang dan menghalang laluan.

Hujan lebat serta ribut turut menyebabkan beberapa rumah dan premis perniagaan mengalami kerosakan.

Menurut penduduk hujan berserta ribut bermula jam 3.50 petang tadi.

Foto: Ihsan Bomba

“Dia datang macam puting beliunglah kerusi kerusi semua terangkat naik atas bumbung semua sekali dia datang dia terus sapu habis” kata Raduan Abd Majid salah seorang peniaga yang terjejas akibat ribut berkenaan.

Katanya, hampir 60 peratus gerainya rosak akibat dipukul ribut.

Suriani Osman dari Kampung Sulaiman Menteri pula berkata, bumbung rumahnya turut diterbangkan angin dalam sekelip mata.

“Pelbagai barangan dalam rumah terutama peralatan elektrik habis rosak selepas dimasuki air,” katanya.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan pusat gerakan operasi JBPM Johor, tiada sebarang laporan membabitkan kemalangan jiwa dilaporkan.

Loading...
Terkini