comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok tumbang hempap dapur akibat ribut

Pokok buah kuini yang tumbang menghempap bahagian dapur rumah penduduk di Kampung Hampar Kiri, Mukim Air Puteh. – Foto NSTP/IHSAN APM

PENDANG: 7 sekeluarga di Kampung Hampar Kiri, Mukim Air Puteh berdepan detik cemas apabila rumah mereka dihempap pokok ketika kejadian ribut, hari ini.

Pemilik rumah, Faridah Saad, 58, berkata, kejadian berlaku terlalu pantas sewaktu hujan lebat menyebabkan mereka tidak sempat berbuat apa-apa.

Katanya, kejadian sekitar jam 5 petang itu berlaku ketika dia hendak mengambil wudu’ di bilik air rumahnya manakala suaminya, Ady Abd Ghani, 68, sedang bersiap untuk ke masjid bagi menunaikan solat Asar.

“Salah seorang daripada empat anak makcik beritahu ketika itu cuaca mendung dan gelap sebelum angin kuat.

“Belum sempat makcik keluar untuk tengok cuaca, pokok buah kuini di bahagian dapur rumah tumbang sehingga menyebabkan bumbung rosak selain sebuah kereta Proton Saga kemek.

“Bagaimanapun, makcik bersyukur kerana kami sekeluarga termasuk cucu makcik selamat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Faridah, dia masih trauma dengan kejadian itu dan bersyukur kerana tiada sesiapa berada di dapur ketika kejadian.

Katanya, kejadian itu menyebabkan bahagian dapurnya rosak dan air hujan masuk mencurah-curah.

“Sampai sekarang makcik masih terkejut dengan apa yang berlaku kerana ini kali kedua kejadian ribut berlaku di rumah makcik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, kejadian ribut itu berlaku sekitar jam 4.30 petang membabitkan dua buah rumah di kampung terbabit.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku ketika angin kencang serta hujan lebat.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pendang yang tiba di lokasi melakukan kerja pembersihan dengan memotong dan menebang dahan pokok tumbang dan menimpa rumah penduduk.

“Bagaimanapun tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini