comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok tumbang hempap kenderaan di Tuaran

FOTO: NSTP

TUARAN: Beberapa pemandu berdepan detik cemas apabila sebatang pokok besar di bahu Jalan Sekadar-Batangan, di sini, tumbang dan menghempap kenderaan mereka, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan pemandu kenderaan yang menggunakan laluan itu tidak sempat mengelak.

Kejadian yang tular di media sosial itu dikatakan turut merosakkan beberapa kenderaan yang di parkir pemiliknya berhampiran pokok itu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku secara tiba-tiba tanpa ada angin kencang dan hujan lebat.

Bagaimanapun, penduduk percaya pokok yang tumbang itu sudah reput kerana faktor usia kewujudan tumbuhan itu lebih 30 tahun di situ.

Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian, kecuali kerosakan pada beberapa kenderaan yang dihempap dahan pokok tumbang itu.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati, pokok tumbang itu sudah dibersihkan pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT) membolehkan laluan berkenaan dibuka semula kepada lalu lintas.

Penduduk, Sanizan Kasiran, 40-an, berharap PBT dapat menebang pokok yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa penduduk di daerah ini.

“PBT wajar bertindak segera menebang pokok yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa penduduk daerah ini.

“Tidak perlu tunggu pemimpin tertinggi kerajaan seperti Ketua Menteri Sabah mengarahkan tindakan itu, baru tindakan diambil,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Wilfreed Samuil, 30-an berkata, PBT perlu peka dengan keadaan itu untuk memastikan keselamatan penduduk di daerah ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini