comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok tumbang hempap kereta, suami isteri terselamat

 

Foto: PDRM

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri terselamat selepas berjaya keluar menyelamatkan diri dari kereta Toyota Vios dinaiki mereka yang dihempap pokok tumbang di Jalan Lencong Timur selepas lampu isyarat, Bandar Perdana, di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, Yeow Seng Chye, 66, tidak mengalami kecederaan manakala isterinya, Lim Ah Yoong, 64, sakit di bahagian dada.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.20 petang. Katanya, laporan itu memberitahu berlaku kejadian pokok tumbang yang menghempap sebuah kereta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati, mangsa bersama isterinya menaiki kereta itu dalam perjalanan ke Taman Sejati untuk urusan bank.

“Namun, sebaik tiba di lokasi kejadian, secara tiba-tiba sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan mangsa.

“Lelaki warga emas itu dan isterinya bagaimanapun berjaya keluar sendiri dari kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, isteri mangsa yang mengalami sakit di bahagian dada dinasihatkan untuk dapatkan rawatan lanjut di hospital.

Beliau berkata, tiada kenderaan dan mangsa lain yang terbabit dalam kejadian itu.

“Unit Kereta Peronda (MPV) Echo IPD Kuala Muda dan pihak Bomba Sungai Petani yang sampai di lokasi, melakukan kawalan di tempat kejadian dan kerja pembersihan.

“Kerja-kerja pembersihan kemudian dilakukan oleh pihak Bomba dan laluan dibuka semula pada jam 5.45 petang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini