comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok tumbang, tiga beranak terselamat

Anggota APM dan orang awm membantu memberikan bantuan kepada mangsa yanng terselamat. -Foto: APM Kuantan.

KUANTAN: Tiga beranak yang menunggang motosikal terselamat dalam kejadian pokok tumbang di Batu 10, Jalan Kuantan-Gambang, malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, Kapten (PA) Zaubidah Said, berkata kejadian itu turut membabitkan sebuah kereta.

Menurut beliau, berdasarkan laporan Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuantan, menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 malam.

“Seramai lapan anggota PKOD Kuantan segera ke lokasi dengan menaiki dua ambulans bagi membantu dan merawat mangsa di lokasi.

“Kejadian membabitkan dua kenderaan iaitu kereta dan motosikal.

“Mangsa lelaki dewasa bersama seorang anak dan isteri yang menunggang motosikal cedera di bahagian kaki.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, turut terbabit dalam operasi menyelamat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan kakitangan HTAA. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini