comscore
Tumpuan :
Nasional

Pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail dalam perancangan dipangkas petang kejadian – Nga

Oleh: Juliana Sharin

PUTRAJAYA: Pokok yang tumbang di Jalan Sultan Ismail 7 Mei lalu, dalam perancangan untuk dipangkas dahannya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata malangnya belum sempat pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ingin melakukannya ia telah tumbang dan menyebabkan seorang mangsa terbunuh, manakala dua lagi cedera.

“Sebenarnya ada rancangan untuk trim pokok itu cuma nasib malang sebelum DBKL sempat untuk trim petang itu hujan yang lebat dan ribut jadi belaku kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam sidang media pada Majlis PraPelancaran Sambutan Hari Lanskap Negara (HLN) 2024, di Taman Persahabatan China-Malaysia.

Menurutnya lagi pokok Hujan-hujan atau Samanea Saman itu dikenal pasti sudah berusia lebih 128 tahun dan dalam keadaan uzur.

“Bagaimanapun kita telah mengambil iktibar dan kerja trim pokok telah dijalankan dengan kadar segera,” jelasnya.

Tambahnya lagi kementerian bersama DBKL memandang serius keselamatan awam dengan adanya jadual pemangkasan pokok berbahaya secara berjadual.

Katanya DBKL telah mengenalpasti 1,300 pokok berusia 50 tahun ke atas dengan arahan segera telah dikeluarkan kepada jabatan berkenaan untuk memangkas pokok-pokok yang membahayakan keselamatan.

“Setakat pagi ini tinggal lagi 28 pokok yang layak dan boleh ditrim,” katanya.

Nga turut memaklumkan mesyuarat kabinet pagi tadi telah bincang dan mengamanahkan Jabatan Lanskap Negara untuk mengenalpasti spesis pokok yang sesuai ditanam di kawasan bandar terutama di sepanjang jalan untuk menjaga keselamatan awam.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk mewajibkan peranan arboris bertauliah dalam sebarang pembangunan, Nga berkata bagi setiap projek yang dijalankan ia dikawal selia ketat dengan keselamatan juga keselesaan penduduk sentiasa menjadi keutamaan.

Pihaknya juga telah menyarankan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menghantar kakitangan mereka mengikuti kursus arborikultur.

“Kursus di bawah kawal selia Jabatan Lanskap Negara, arboris atau kita panggil ‘Doktor Pokok’ agar semua PBT ada juga staf yang berkelayakan dan berilmu untuk menjaga pokok-pokok,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini