Tumpuan :
Nasional

Polis akan dapatkan maklumat lengkap perubatan lelaki OKU dipukul

Lelaki OKU yang dipukul dipasar tani di Chukai, Kemaman. -Foto tular

CHUKAI: Polis sedang mendapatkan maklumat lengkap perubatan mangsa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) yang dipukul di tapak pasar pagi di Jalan Astaka dekat sini, Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhamad Wan Ja’afar berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Jabatan Peguam Negara (JPN).

“Hasil penelitian serta semakan keterangan, JPN mengarahkan polis untuk mendapatkan laporan lengkap perubatan mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Muhamad berkata, berikutan itu pihaknya menasihati orang ramai atau pengguna media sosial tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengganggu siasatan atau mendatangkan kegusaran awam.

“Tindakan undang-undang boleh diambil dan polis sentiasa memastikan siasatan dijalankan secara telus.

“Polis akan memaklumkan perkembangan siasatan kes ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan lelaki OKU berusia 47 tahun dipukul beberapa individu selepas motosikal ditunggangnya terlanggar salah sebuah gerai jualan menyebabkan makanan yang dijual tumpah.

Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat dipukul dan disepak oleh beberapa individu dipercayai peniaga dan pelanggan.

Berikutan kejadian itu, polis menahan enam lelaki bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini