comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis akan panggil 3 pemain bola cederakan pengadil

Tangkap layar video tular pergaduhan yang tercetus pada perlawanan yang berlangsung di Padang Pertanian Lekir, Manjung. – Foto Tular

MANJUNG: Polis akan memanggil tiga suspek dipercayai pemain bola sepak daripada Majlis Daerah Setiu kerana disyaki mencederakan pengadil semasa kejohanan di Padang Pertanian Lekir, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, ia susulan laporan polis dibuat mangsa pada jam 7.26 malam, menyatakan diserang tiga individu.

Katanya, mangsa yang berusia 27 tahun, berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) cedera di pinggang dan kaki akibat ditendang dan mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung.

“Pengadu ialah pengadil perlawanan bola sepak di antara dua pasukan melibatkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri dengan Majlis Daerah Setiu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan sengaja.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara maksimum satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Ahad lalu, video tular di laman Facebook memaparkan seorang pengadil perlawanan cuba melarikan diri namun dikejar beberapa pemain.

Difahamkan kekecohan itu berlaku kerana rasa tidak berpuas hati terhadap keputusan perlawanan.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Norzian Yahya di talian 019-3905390.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini