comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis arah henti sebar video sentuh agama, perkauman

Foto: Tangkap layar video kejadian pada 2017 yang ditular semula, memaparkan sekumpulan lelaki bermain alat muzik ketika azan berkumandang di Masjid Maqbul, Sungai Pinang

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan sekumpulan lelaki bermain alat muzik berdekatan sebuah masjid di Jalan Jelutong di sini, adalah video lama yang ditular semula.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Noor berkata video berdurasi satu minit 40 saat itu telah dimuat naik di beberapa laman sosial seperti Facebook dan TikTok.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, pihaknya mendapati video itu adalah rakaman video lama mengenai perarakan keagamaan di Jalan Jelutong iaitu berdekatan dengan Masjid Maqbul Sungai Pinang berlaku pada 11 Okt 2017.

“Video tersebut telah dimuat naik semula ke laman sosial oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan.

“Polis memberi amaran kepada orang ramai agar menghentikan serta-merta menyebar video menyentuh sensitiviti agama dan perkauman kerana ia boleh menimbulkan perpecahan kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shuhaily berkata kesalahan menyebarkan video itu melalui media sosial boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Tan Cheng San berkata kejadian pertengkaran mulut melibatkan penyokong parti politik dengan orang awam yang tular sejak semalam berlaku disebabkan salah faham.

Katanya, berdasarkan siasatan, polis mendapati kejadian berlaku pada 5.45 petang Isnin lepas di Kubang Semang, Bukit Mertajam dekat sini dan ia telah diselesaikan dengan baik.

“Pihak polis ingin meminta semua parti dan calon bertanding supaya menasihati penyokong mereka agar mematuhi segara peraturan serta tatacara berkempen yang telah diberikan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata pihak polis juga menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga tatakelakuan dan menghentikan sebarang provokasi terutama sepanjang tempoh berkempen agar perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kekal aman serta harmoni. — BERNAMA

Loading...
Terkini