comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Polis Australia rampas heroin RM789 juta dari Malaysia

PETALING JAYA : Sebanyak 336 kilogram (kg) heroin bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane dirampas pihak berkuasa Australia, 13 Mac lalu.

Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan minggu lalu berkata dadah berkenaan disorok dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500 kg dan dapat dikesan Pasukan Sempadan Australia (ABF).

Pihak berkuasa Australia merampas heroin seberat 336 kilogram (kg) yang disorok dalam blok konkrit menggunakan kontena dari Malaysia. – FOTO: AFP

Menurutnya, semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar  dalam kontena yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.

“Pegawai ABF yang memeriksa kontena berjaya mengesan ratusan bungkusan tersembunyi di dalam blok konkrit simen berkenaan dan keputusan ujian ke atas bahan dalam bungkusan, positif dadah jenis heroin.

“Penyiasat AFP serta pegawai ABF kemudian menggerudi sehingga bahagian dalam blok konkrit dan berjaya mengeluarkan 960 bungkusan, setiap satu mengandungi kira-kira 350 gram heroin,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak berkuasa mengeluarkan semua bungkusan heroin daripada blok konkrit berkenaan dan meneruskan menghantar konsainan ke alamat di Brendale, utara Brisbane pada 28 Mac lalu.

Pihak berkuasa Australia merampas heroin seberat 336 kilogram (kg) yang disorok dalam blok konkrit menggunakan kontena dari Malaysia. – FOTO: AFP

“Pada 29 Mac lalu, risikan mendapati konsainan itu diambil oleh seorang lelaki tempatan menggunakan trak yang disewa menuju ke Sydney sebelum ia diturunkan di sebuah bangsal industri di Mount Druitt pada 30 Mac. Lelaki berusia 55 tahun itu kembali semula ke bangsal itu bersama alat pemotong industri untuk mengeluarkan bungkusan dadah dalam blok konkrit berkenaan sebelum ditangkap,” katanya.

Susulan itu,  AFP menggeledah beberapa premis perniagaan dan kediaman di New South Wales serta Queensland dan merampas pelbagai barangan berharga, termasuk barang kemas bernilai AUD700,000 (RM2.05 juta).

Ia rampasan heroin kedua terbesar oleh AFP dan ABF dengan rampasan terbesar heroin seberat 450 kg direkodkan di Melbourne pada 2021.

Komander AFP, John Tanti, berkata pihaknya komited untuk menghentikan kegiatan sindiket yang menggunakan Lautan Pasifik sebagai ‘lebuh raya dadah’ secara maritim dan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sindiket.

Loading...
Terkini