Tumpuan :
Nasional

Polis belum terima laporan isu Pulau Batu Puteh

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Polis belum menerima sebarang laporan berkaitan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berhubung kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, setakat ini.

Ia disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.

“Belum terima lagi apa-apa laporan (berhubung perkara berkenaan),” katanya ringkas pada sidang media Pelancaran buku Polis Diraja Malaysia (PDRM): Sejarah Penubuhan, Pengorbanan dan Kejayaan dalam Mengekalkan Keamanan Negara, di sini, hari ini.

Terdahulu media melaporkan, siasatan jenayah boleh dimulakan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkaitan kehilangan Pulau Batu Puteh kepada Singapura, susulan keputusan Kabinet menarik balik permohonan membatalkan keputusan Mahkamah Antarabangsa (ICJ) mengenainya pada 2018.

Ia antara Syor Suruhanjaya Siasatan Diraja Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diedarkan kepada Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Dalam laporan setebal 217 itu, suruhanjaya itu menyatakan, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir atas kesalahan di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun yang sama serta di bawah Seksyen 418 Kanun yang sama.

“Oleh itu, adalah dicadangkan supaya satu laporan polis dibuat oleh Setiausaha Suruhanjaya bagi membolehkan siasatan ini dimulakan,” katanya.

Laporan yang ditandatangani tujuh anggota Suruhanjaya itu, yang dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif menyatakan, dalam konteks Seksyen 415(b), apa yang perlu ditunjukkan adalah, Dr Mahathir bertindak menipu Jemaah Menteri dan dengan sengaja mendorong Kerajaan Malaysia untuk tidak meneruskan permohonan itu walaupun keputusan itu dibuat secara sepihak oleh beliau tanpa kelulusan Jemaah Menteri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini