comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis beri taklimat untuk calon dan wakil calon

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa

KUALA TERENGGANU: Calon atau pihak calon di setiap daerah akan dipanggil dan diberikan taklimat mengenai aspek keselamatan dan peraturan sepanjang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ketua polis daerah bertanggungjawab untuk memberi penerangan berkaitan peraturan dan proses sepanjang pilihan raya kali ini.

“Ia termasuk penerangan mengenai peraturan terkini dan kehendak-kehendak polis bagi menjamin situasi yang selamat untuk semua. “Maksudnya, daripada segi tata cara berkempen dan peraturan-peraturannya sebab kita tengok trend semasa ketika ini, ada yang akan mengadakan kempen secara bergerak iaitu dengan lori.

“Itu yang jadi trend terkini, jadi itu akan berterusan dan kita akan memberi nasihat, teguran dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat dan persiapan menghadapi PRU-15 Kontinjen Terengganu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemantauan dan rondaan sepanjang PRU-15, Rohaimi berkata, ia akan diadakan di kawasan-kawasan yang sudah dikenal pasti di setiap daerah termasuk markas-markas parti.

Beliau turut menasihati semua parti dan calon yang bertanding supaya menasihati penyokong mereka untuk mematuhi peraturan diberikan pihak berkuasa.

Pada masa sama, tambah Rohaimi, 5,061 anggota IPK Terengganu akan mengundi awal di 29 pusat mengundi di 35 saluran. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini