Tumpuan :
Nasional

Polis bongkar aktiviti persundalan di sebalik premis urut

FOTO: Ihsan PDRM

JOHOR BAHRU: Polis berjaya membongkar kegiatan persundalan yang berselindung di sebalik pusat urut di Taman Sri Tebrau di sini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, ia hasil serbuan Ops Noda pada 6 petang semalam yang menahan tujuh individu berusia 29 hingga 44 tahun.

“Mereka yang ditahan adalah empat lelaki sebagai penjaga premis dan tiga wanita yang dipercayai menawarkan perkhidmatan tidak bermoral.

“Daripada itu, dua orang warga tempatan dan lima warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Raub berkata, dalam serbuan itu, sejumlah 18 keping kondom, dua tiub pelincir, 12 telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM947 dirampas.

Katanya, siasatan awal mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen sah dan beroperasi dari 12 tengah hari hingga 3 pagi.

Menurutnya, semua tahanan direman empat hari dan dua hari bermula hari ini, dengan seorang suspek lelaki mempunyai empat rekod jenayah lampau.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja warga asing tanpa permit yang sah; Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana mengurus atau mengawal aktiviti persundalan dan Seksyen 373(1)(a) Kanun Keseksaan.

Turut disiasat di bawah Peraturan 39(B) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini