comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis buka 2 kertas siasatan kes kecurian tabung Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah

 

KUALA LUMPUR: Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian kecurian tabung masjid yang berlaku di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis yang dibuat pengurusan masjid.

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini kes dalam siasatan dan pihak polis sedang giat mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Semalam, Selangor Royal Office dilaporkan berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kejadian kecurian tabung masjid yang berlaku di Masjid Diraja Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong.

Baginda amat murka dengan pelaku berkenaan yang tergamak mencuri duit tabung masjid hasil sumbangan dan sedekah orang ramai, yang bertujuan untuk kesejahteraan umat Islam di kariah berkenaan.

“Baginda mengingatkan bahawa perbuatan mencuri adalah perbuatan keji dan satu dosa besar khususnya apabila membabitkan kebajikan golongan kurang berkemampuan seperti asnaf dan anak-anak yatim.

“Baginda juga menzahirkan kekecewaan terhadap pihak pengurusan jawatankuasa (AJK) Masjid Tengku Ampuan Jemaah kerana tidak melaporkan kejadian berkenaan secara rasmi kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais),” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini