PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 80 kertas siasatan ke atas Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) membabitkan empat akta setakat ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia membabitkan Akta Kanak-Kanak 2001, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dan Akta Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, kertas siasatan mengambil tempoh lama untuk dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
“Sama ada terdapat pendakwaan atau tidak, perkara itu akan ditentukan oleh pihak Peguam Negara.
“Polis mengambil tempoh lama bagi melakukan intipan ke atas GISBH sehingga kepada tindakan dan tangkapan yang menumpukan kepada aspek eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya pada sidang media sempena perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.
Saifuddin berkata, operasi diadakan itu bukan hanya membabitkan polis sebaliknya turut membabitkan agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Pendaftar Pertubuhan, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Kimia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Agama Islam negeri.
“Seramai 1,226 pegawai dan anggota dari pelbagai jabatan dan agensi terbabit dalam operasi GISBH ini,” katanya.