
KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan berhubung ‘Himpunan Selamatkan Malaysia’ yang diadakan di hadapan kompleks beli-belah Sogo, di sini, semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Artikel berkaitan: Himpunan jalanan, penganjuran tidak sah, polis panggil pihak terlibat
“Kita (polis) sudah buka kertas siasatan dan akan memanggil mana-mana individu yang dapat membantu siasatan.
“Mereka akan dipanggil untuk rakaman keterangan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Semalam, kira-kira 1,000 peserta menghadiri perhimpunan itu bermula 1.50 tengah hari dan berakhir 3.30 petang dengan nyanyian lagu Negaraku serta bacaan doa.
Peserta perhimpunan dilaporkan berarak dengan berjalan kaki dari Masjid Jamek Kampung Baru ke kompleks Sogo selepas menunaikan solat Zuhur.
Perarakan diketuai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali Chegu Bard.
Tun Faisal bersama Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris dan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Muhammad Rafique Rashid Ali turut hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis.
Sementara itu, Allaudeen dalam sidang media di IPD Dang Wangi semalam memaklumkan, himpunan berkenaan didapati tidak mematuhi undang-undang diperuntukkan mengikut Akta Perhimpunan 2012.
Beliau dilaporkan berkata, penganjur himpunan berkenaan tidak mematuhi garis panduan pemakluman kepada pihak polis.