Tumpuan :
Nasional

Polis buru individu lempar batu ke arah kenderaan

Foto tular

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang individu lelaki yang bertindak melempar batu ke arah sebuah kenderaan semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintenden M. Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, kejadian berlaku jam 2.30 petang semalam di laluan berhampiran Stesen MRT Sri Damansara.

“Sehingga kini tiada sebarang laporan diterima oleh mana-mana pihak dan tindakan untuk mengesan individu berkenaan sedang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut M. Hussin, perbuatan khianat itu boleh disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Polis dalam masa sama meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat agar tampil membantu siasatan.

Terdahulu, insiden berkenaan tular di media sosial menerusi video berdurasi 14 saat memaparkan tindakan seorang lelaki di bahu jalan yang melempar batu terhadap sebuah kenderaan.

Kejadian itu juga mengundang pelbagai reaksi netizen di ruangan komen berhubung tindakan individu lelaki berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini