
SHAH ALAM: Polis memburu seorang lelaki yang bergelut dengan anggota polis trafik sebelum melarikan diri dalam sekatan jalan raya di Persiaran Batu Belah, Bukit Raja, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 6 petang.
“Semasa operasi dijalankan, penunggang motosikal iaitu lelaki warga tempatan bergelut dengan anggota yang bertugas dan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal jenis Honda RS150.
“Usaha mengesan suspek masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata, motosikal suspek di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan sitaan.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ahmad Fadzli Abdullah di talian 017-5843860.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.