comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis buru suspek lelaki pukul pemandu lori sampah gara-gara bunyi hon

Tangkap layar video tular

SABAK BERNAM: Seorang suspek lelaki yang tular di Facebook selepas dipercayai memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di Jalan 6, Jalan Panchang Bedena, Sungai Besar, di sini semalam diburu pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku selepas polis menerima aduan daripada pemandu lori berusia 37 tahun.

Berdasarkan laporan dibuat, mangsa mendakwa dia telah dipukul dan diugut suspek tidak dikenali semasa sedang memandu lori untuk mengutip sampah di kawasan kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati kenderaan suspek menghalang laluan lori sampah dan mangsa telah membunyikan hon untuk meminta suspek alihkan kenderaannya.

“Namun, secara tiba-tiba lelaki itu bertindak agresif dengan datang ke arah mangsa yang berada di dalam lori dan memarahinya dengan kata-kata kesat serta mengugut dan memukulnya menggunakan kayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Agus Salim memberitahu, mangsa mendakwa mengalami kecederaan pada tangan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam namun dibenarkan pulang.

Kes disiasat di bawah seksyen 324/506 Kanun Keseksaan dan memohon mana-mana individu yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Sabak Bernam di talian 03-32242222 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohamad Farid Sutrisno Tanjung di talian 019-3224855.

Sejak semalam, tular video kejadian durasi 47 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki menyerang pemandu lori sehingga sanggup memanjat tayar lori terbabit.

Loading...
Terkini