Tumpuan :
Nasional

Polis buru suspek tembak rumah di Sibu

KUCHING: Polis sedang meneliti motif tembakan yang dilepaskan ke sebuah rumah di Jalan Lada, di Sibu, awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 pagi itu, beberapa kesan tembakan ditemui pada kenderaan dan bahagian atas rumah terbabit.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian seorang wanita berusia 31 tahun yang sedang tidur di rumah berkenaan dikejutkan dengan bunyi tembakan dan seorang pengawal di pos keselamatan turut mendengar tembakan itu.

“Pemeriksaan oleh wanita dan pengawal keselamatan itu menemui dua lubang peluru pada nombor plat kenderaan yang diletakkan di garaj serra bingkai tingkap di tingkat atas rumah.

“Wanita itu kemudian membuat laporan poliskira-kira jam 5 pagi sebelum pegawai penyiasat dihantar ke rumah itu untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Menurutnya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) rumah itu menunjukkan seorang lelaki tidak dikenali menaiki sebuah kereta Toyota Vios berwarna hitam melepaskan tembakan ke arah rumah itu sebelum melarikan diri.

Berikutan itu, polis kini giat memburu suspek yang melakukan serangan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melepaskan tembakan serta khianat.

Pada 25 Oktober lalu, lelaki berusia 46 tahun cedera pada bahu kanan dalam kejadian tembakan di Lorong Wong King Huo 21, Sibu.

Satu kesan tembakan turut ditemui pada cermin hadapan kenderaan pacuan empat roda mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini