comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis buru tiga lelaki bakar anak kucing hidup-hidup

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan tiga individu yang disyaki melakukan perbuatan zalim membakar anak kucing di Flat Sungai Kenari, Sungai Ramal Baru, Kajang dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata polis menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 63 tahun berhubung kejadian itu pada jam 10.51 pagi tadi.

Beliau berkata, anak kucing dianggarkan berusia enam minggu itu dilaporkan dibakar hidup-hidup di tempat parkir motosikal flat berkenaan.

“Pengadu mendapat tahu kejadian ini daripada seorang saksi yang juga penduduk di flat berkenaan yang ternampak seekor anak kucing sedang terbakar dan segera mencurah air dan memadamkannya.

“Saksi kemudian maklumkan kejadian itu kepada pengadu dan pengadu cuba mencari anak kucing terbabit di sekitar flat dan menjumpainya dalam keadaan lemah sebelum segera menghantarnya ke sebuah klinik swasta di Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil siasatan awal menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 tengah hari kelmarin.

“Rakaman CCTV menunjukkan tiga lelaki tempatan sedang melepak di tapak parkir motosikal dan dua daripada suspek kemudian menyimbah dipercayai bahan bakar pada seekor anak kucing.

“Salah seorang daripadanya kemudian menyalakan api dan ketiga-tiga mereka hanya menyaksikan anak kucing itu berlari dalam keadaan badan terbakar,” katanya.

Katanya, hasil siasatan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya mengenal pasti semua suspek dan kini sedang giat mengesan mereka untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau dengan denda atau kedua-dua, jika disabitkan.

“Anak kucing seberat 300 gram itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat cedera melecur tahap dua dan ditempatkan di klinik veterinar swasta untuk pemerhatian sekurang-kurangnya seminggu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil untuk membantu siasatan polis.

“Mereka boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Suresh Krishnan di talian 017-4333795 untuk membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, satu rakaman video daripada CCTV berkaitan kejadian itu dimuat naik menerusi Facebook Persatuan Haiwan Malaysia hari ini.

“Selama ini kita dengar bakar kucing di luar negara. Semalam 22 April 2024 sekitar jam 2 petang, seekor anak kucing dibakar hidup-hidup oleh sekumpulan tiga orang lelaki hingga menyebabkan kecederaan parah kucing.

“Seorang pelaku tukang bakar melakukan tugas kejam terbabit disaksikan dua rakan lainnya yang juga salah seorang adalah remaja bawah umur.

“Kejadian berlaku di tempat letak motor Flat Seri Kenari, Kajang Selangor adalah pertama membabitkan pembakaran kucing hidup-hidup di negara ini,” katanya menerusi kapsyen bersama rakaman video itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini