comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis cari petunjuk baharu buru suspek 

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

PETALING JAYA: Polis sedang mempergiat usaha mencari petunjuk baharu bagi mengesan suspek pembunuhan kanak-kanak OKU, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Bagi meneruskan pencarian bukti-bukti fizikal secara agresif, Unit Anjing Pengesan (K9) Bukit Aman digerakkan sekali lagi ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid memaklumkan polis turut menggerakkan 42 anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bagi mencari bahan keterangan fizikal di sekitar lokasi penemuan mangsa.

“Kita sedang mengumpulkan maklumat siasatan sama ada dari segi saintifik, maklumat-maklumat awam dan juga siasatan di tempat kejadian yang boleh membawa lead kita kepada suspek yang terlibat,” ujarnya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, polis turut berusaha mendapatkan rakaman daripada kamera papan pemuka, atau ‘dashboard cam’ daripada kenderaan penduduk sekitar bagi membantu siasatan.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib tiba di lokasi kejadian bagi meninjau perkembangan siasatan.

Sementara itu, sunyi dan sepi menyelubungi di sekitar rumah keluarga mangsa yang terletak kurang 100 meter dari penemuan mayat Zayn Rayyan.

Difahamkan rumah keluarga mangsa ini tidak berpenghuni sejak penemuan jenazah kanak-kanak malang itu.

Jiran kepada keluarga mangsa, Syida Rajali, antara yang terkesan dengan insiden yang menimpa kanak-kanak autisme itu.

Ibu kepada tiga anak itu melahirkan kegusaran mengenai keselamatan kanak-kanak di kawasan itu, selagi suspek belum dikenalpasti.

“Sebelum kejadian ok, kawasan sini aman ja, takda apa-apa yang merisaukan, semua ok ja, ada budak-budak main, orang semua pergi balik kerja macam biasa, tapi lepas kejadian, sunyi, selalu budak-budak sabtu ahad ada yang main bolla luar sini, berlari-lari, sekrarang takda dah, sunyi saja,” katanya.

Sehingga tengah hari tadi, polis telah selesai memeriksa 540 unit kediaman membabitkan tiga blok dalam operasi ‘pertanyaan dan pencarian dari rumah ke rumah’.

Usaha memeriksa baki lebih 1900 unit kediaman ini masih diteruskan bagi mendapatkan keterangan untuk memperincikan maklumat siasatan.

Operasi masih diteruskan sehingga malam ini bagi mendapatkan bukti-bukti baharu yang dapat membantu siasatan.

Rabu lalu, mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 100 meter dari rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan pada leher mangsa.

Loading...
Terkini