
KOTA KINABALU: Seorang pekerja homestay menemui mayat bayi lelaki baru dilahirkan di belakang tangki tandas sebuah homestay di Aeropod, Jalan Kepayan, di sini semalam.
Penemuan itu susulan bau busuk dari salah satu bilik homestay.
Mayat bayi cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang.
Susulan itu, pengusaha homestay membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, sebaik menerima maklumat mengenai penemuan mayat itu, sepasukan polis digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik di ruang bahagian belakang tangki tandas.
“Dalam plastik itu ditemui satu mayat bayi lelaki yang sempurna sifatnya dipercayai baru dilahirkan.
“Mayat bayi telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE) bagi menjalani bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pihaknya sedang mengesan seorang wanita berusia 20 tahun yang mendaftar masuk ke homestay berkenaan.
“Wanita itu dipercayai mendaftar masuk ke homestay berkenaan tiga hari sebelum penemuan mayat bayi terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksan,” katanya.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini untuk menghubungi balai polis berdekatan atau pegawai penyiasat Inspektor Nur Hatin Amera Mohd Khir di talian 0111-2939436.