comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis gandakan anggota pastikan kelancaran trafik di KSAB semasa hari mengundi

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin.
FOTO: Polis Daerah Iskandar Puteri/Facebook

ISKANDAR PUTERI: Polis akan menggandakan jumlah keanggotaan pasukan itu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini bagi memastikan kelancaran trafik sempena hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata ini kerana pihaknya menjangkakan akan terdapat peningkatan jumlah kenderaan di laluan pintu masuk negara pada masa itu.

“Untuk PRU15, kita jangka akan ada peningkatan kemasukan kenderaan di laluan Linkedua melibatkan Bangunan KSAB.

Sebagai persediaan kita akan gandakan jumlah keanggotaan, pada hari biasa, seramai 10 anggota bertugas, jadi kita gandakan menjadi 20 anggota,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persediaan pihak polis pada PRU15.

Rahmat pada masa sama berkata pihaknya juga akan mengenal pasti lokasi-lokasi yang dijangka menjadi tumpuan semasa PRU15.

Sementara itu, beliau berkata seorang lelaki warga emas dan sepasang suami isteri merupakan antara empat yang ditahan pihaknya selepas disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri.

Beliau berkata tiga lelaki dan seorang wanita berusia 24 hingga 62 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Pulai Indah, Bandar Selesa Jaya dan Skudai pada 20 Okt lepas.

Rahmat berkata kumpulan itu menyasarkan kediaman yang tidak berpagar dan pasangan suami isteri tersebut akan menekan loceng atau memanggil penghuni kediaman untuk keluar.

“Setelah mengesahkan kediaman itu kosong, mereka akan memecah masuk dan mencuri pelbagai barangan yang boleh dijual semula di pasaran,” katanya.

Beliau berkata antara yang turut dirampas adalah sebuah kereta Naza Citra, sebuah motosikal, satu peti sejuk dan televisyen.

Rahmat berkata menerusi penahanan itu pihaknya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar Iskandar Puteri dan Johor Bahru. – BERNAMA

Loading...
Terkini