comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis gempur 16 rumah urut di Selangor

Foto: PDRM

PETALING JAYA: Polis menggempur 16 premis rumah urut berunsurkan maksiat di lima daerah sekitar Selangor dan menahan seramai 76 wanita serta seorang lelaki warga asing petang semalam.

Dalam serbuan bermula jam 5 petang itu juga pihak polis turut menyelamatkan 37 wanita warga asing selepas dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.

Jabatan Siasatan Jenayah memaklumkan, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14) Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor dilakukan di sekitar daerah Petaling Jaya, Serdang, Gombak, Klang Utara dan Klang Selatan.

Foto: PDRM

“Dalam serbuan ini seramai 25 wanita warga Vietnam, 28 wanita Thailand dan 23 wanita Indonesia serta seorang lelaki warga Indonesia ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang serta melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen.

“JSJ juga turut berjaya menyelamatkan 19 wanita warga Indonesia, 15 wanita Vietnam dan masing-masing seorang wanita warga Thailand, China dan Kemboja yang dipercayai menjadi mangsa penipuan sebelum diperdaya menjadi pekerja rumah urut yang diserbu,” katanya hari ini.

Foto: PDRM

Katanya, pihak polis turut menahan 15 warga tempatan termasuk dua wanita yang dipercayai penjaga atau agen kepada wanita warga asing yang ditahan dan dipaksa bekerja sebagai tukang urut.

Polis turut merampas barangan yang digunakan dalam pusat urut berkenaan seperti minyak urut, tisu basah, telefon bimbit, jadual kerja, tuala mandi, salinan lesen, walkie-talkie, kondom, buku catitan pelanggan dan wang tunai sebanyak RM7,700.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) yang boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan atas kesalahan menawarkan aktiviti persundalan atau perkhidmatan seks, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1)(c) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Bukit Aman akan terus melakukan serbuan dan operasi dalam membanteras kegiatan pemerdagangan orang bagi meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan PDRM.

Loading...
Terkini