comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis gempur sarang penagih dadah, 45 lelaki ditahan

KLANG: Polis menggempur empat sarang penagihan dadah yang aktif digunakan oleh penagih untuk melepaskan gian mereka di sekitar daerah Klang, Selangor pagi tadi.

Seramai 45 lelaki berusia antara 25 hingga 75 tahun termasuk bekas penjawat awam ditahan di lokasi serbuan yang meliputi kawasan tanah lot kosong dan bawah jambatan.

 

Serbuan serentak kira-kira jam 10.30 pagi itu tertumpu di kawasan Taman Sentosa, Pelabuhan Klang, Taman Eng Ann dan Taman Bukit Kuda.

 

Serbuan dijalankan sepasukan 152 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan dan Klang Utara.

Penolong Pengarah (Pencegahan) Judi dan Maksiat D7 JSJ Bukit Aman, Asisten Komisioner Muhammad Riduan Manap berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat mengenai aktiviti penagihan dadah

Ketika serbuan, rata-rata individu berkenaan mahu menagih dadah di lokasi berkenaan dan gagal melarikan diri selepas dikepung polis.

Malah ada yang cuba menyorok di sebalik semak namun berjaya dikesan dan ditahan.

Pasukan serbuan di Taman Sentosa turut menemui papan tanda jenis jualan dadah yang disediakan.

Papan tanda itu mempamerkan perkataan Ubat iaitu heroin, Batu (syabu) dan ‘Daun’ (ganja).

Semua tangkapan dibawa ke IPD Klang Selatan dan Klang Utara bagi tindakan lanjut termasuk saringan air kencing.

Siasatan lanjut bagaimanapun masih dijalankan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Operasi menyasarkan port seumpama itu akan terus dipergiatkan bagi mengekang kegiatan penagihan dadah sehingga menimbulkan kegusaran penduduk setempat.

Loading...
Terkini