comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Kelantan kerjasama MAIK, JAHEIK pantau jenayah di sekolah tahfiz, pondok agama

 

Foto hiasan

BACHOK: Polis Kelantan akan bekerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) bagi memantau sekolah tahfiz dan pondok agama di negeri ini.

Kerjasama ini bagi membantu pihak berkuasa menangani kejadian jenayah di pusat pengajian agama itu selain menjaga kebajikan para pelajar.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kebanyakan pondok dan sekolah agama mengamalkan sistem yang baik namun masih ada kes terpencil membabitkan kejadian jenayah di institusi itu.

Ini termasuk kejadian membabitkan kes seorang mudir dan pengasas rumah anak yatim dan tahfiz yang didakwa di Mahkamah Seksyen,semalam atas lima pertuduhan meliwat tiga pelajarnya.

“Kalau ada yang tak kena, kena lapor segera kepada Ketua Polis Daerah (OCPD), ketua balai (OCS) atau Ketua Polis (KP) sendiri, saya pun dah ada perjumpaan dengan MAIK.

“Sekolah tahfiz dan pondok agama ini akan jadi perkara tumpuan kita tahun ini selain kita teruskan tumpuan dalam kes membabitkan jenayah penyalahgunaan dadah dan jenayah seksual terutamanya membabitkan golongan belia,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok Tahun 2024/1445H di Balai Polis Jelawat, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Kelantan, Datin Suzana Yashin.

Muhamad Zaki berkata, dia juga menggalakkan setiap IPD yang mempunyai institut pengajian tinggi (IPT) di daerah masing-masing membuat hubungan antara polis dan IPT berkenaan.

Katanya, program boleh membabitkan aktiviti turun padang atau bersama pemimpin pelajar bagi memberi pendedahan tentang kes-kes jenayah supaya mereka tidak terjebak sebagai mangsa.

“Antaranya, elakkan mereka (pelajar) jadi keldai akaun untuk aktiviti scammer, kita terima beberapa kes ada pelajar menerima upah RM200 hingga RM600 dengan memberi ‘pinjam’ akaun bank mereka untuk kegiatan ini.

“Mungkin kesalahan tidak nampak serius dan hukuman tidak berat, tetapi kesan perbuatan itu, mereka (pelajar) akan ada rekod jenayah, jadi titik hitam dalam hidup mereka yang boleh beri kesan untuk mereka sambung pelajaran atau dalam mencari pekerjaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini