Tumpuan :
Nasional

Polis Kelantan sedia bantu polis Thailand kesan dua lagi suspek

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan sedia membantu polis Thailand bagi mengesan dua lagi lelaki yang dikatakan melepaskan diri daripada serbuan di sebuah hotel membabitkan tangkapan enam rakyat Malaysia di Golok, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan berhubung dua individu yang diburu itu yang dikatakan rakyat Malaysia.

“Setakat ini kita tidak dimaklumkan atau diminta membantu oleh polis Thailand untuk memburu dua suspek yang melepaskan diri dalam serbuan Jumaat lalu.

“Kita juga tiada identiti dua lelaki yang dikatakan rakyat Malaysia itu. Jika mereka minta bantuan, kita sedia membantu,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam media melaporkan, Mahkamah Wilayah Narathiwat membenarkan perintah penahanan lanjut kepada polis terhadap enam rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi dikir barat dari Kelantan yang ditahan dalam serbuan di Golok, Jumaat lalu, sehingga tiga bulan atau 84 hari.

Jurucakap mahkamah berkata, perintah penahanan itu diberikan bagi membolehkan pihak polis meneruskan siasatan terhadap kes berkenaan.

Mereka ditahan selepas dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Jumaat lalu.

Semua mereka yang berusia 25 hingga 32 tahun ditahan jam 6 pagi (waktu Malaysia) di sebuah bilik selepas selesai berhibur.

Tangkapan enam individu membabitkan tiga lelaki dan tiga perempuan itu turut menemui 6,000 biji pil yaba.

Sementara itu, jurucakap polis Thailand berkata, pihaknya sedang memburu dua lagi suspek yang melarikan diri ketika serbuan di sebuah hotel di Golok, Jumaat lalu.

Difahamkan, suspek kedua-duanya berasal dari Malaysia dan turut dikenali oleh keenam-enam suspek yang ditahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini