Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Polis telah mengenal pasti 25 individu yang dipercayai terlibat dalam penganjuran himpunan jalanan yang diadakan di ibu negara, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, 22 daripada individu itu sudah dihubungi untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
“Lima orang sudah bersetuju untuk hadir untuk dirakam keterangan esok, dengan yang selebihnya akan dipanggil secara berperingkat untuk tujuan sama.”
“Mereka yang dipanggil ini termasuk wakil rakyat, dan individu bergelar Datuk,” katanya.
Tambah Ayob, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan yang dilihat menyalahi undang-undang, termasuk pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012.
Antara kesalahan yang dikenalpasti dilakukan termasuk penganjur tidak membuat pemberitahuan penganjuran perhimpunan, mengadakan perhimpunan di tempat larangan iaitu masjid serta membawa kanak-kanak menyertai perhimpunan.
“Ada yang mempertikaikan tindakan polis dengan merujuk hak berhimpun seperti dalam atikel 10. Namun kebebasan ini datang dengan had yang diimbangi hak asasi masyarakat lain.”
“Penganjuran sebarang himpunan perlu dilakukan dengan notis makluman diserahkan kepada polis sekurang-kurangnya lima hari lebih awal. Ini bagi memastikan perhimpunan dilakukan dengan kebenaran dari pemilik premis dan ketenteraman awam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kedah, di sini hari ini.
Himpunan Jalanan itu bermula di Masjid Jamek Kampung Baru kira-kira jam 1.15 petang dan berakhir pada jam 3.30 petang di hadapan pusat beli-belah Sogo.
Artikel berkaitan: Polis buka kertas siasatan ikut Akta Perhimpunan Aman 2012