
KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan dua individu terbabit dalam insiden simbah cat di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM) yang terpalit kontroversi menjual sandwic ‘ham & cheese’.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata ia berdasarkan rakaman keterangan dan siasatan dijalankan di lokasi.
Beliau berkata, kedai serbaneka itu sudah tidak beroperasi sejak 10 Januari lalu dan kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah malam, Selasa lalu.
“Kejadian disedari pekerja di kedai sebelah yang mendengar bunyi dan melihat simbahan cat.
“Hasil siasatan dijalankan, ada dua lelaki menunggang motosikal terbabit dalam kejadian itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob.
Rusdi berkata, pihak polis kini sedang giat mengesan kedua-dua suspek berkenaan untuk tindakan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menyalurkannya kepada polis untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan, sebuah cawangan kedai serbaneka di pusat pengajian tinggi awam disimbah cat merah.
Polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 8 pagi, 21 Januari lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.