
PETALING JAYA: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang terlibat dalam pergaduhan dan menyerang pelanggan restoran di Bandar Baru Klang, Klang, Selangor awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, ACP R.Vijaya Rao berkata beberapa pelanggan turut cedera dalam insiden berkenaan.
Dalam satu kenyataan, beliau berkata pihaknya mengesan beberapa video kejadian yang tular di media sosial hari ini.
Susulan kejadian, polis menerima laporan daripada seorang wanita yang juga pemilik restoran.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, sekumpulan 20 lelaki bergaduh dan menyerang pelanggan di restoran itu.
Akibat pergaduhan, beberapa pelanggan cedera dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Polis telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam pergaduhan itu dan semakan mendapati ada antara mereka pernah ditangkap sebelum ini.
Kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata.
Polis masih mengesan beberapa saksi di tempat kejadian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk menjejaki suspek.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi IPD Klang Utara atau mana-mana balai polis berdekatan.