BALIK PULAU: Polis sedang mengesan seorang individu yang melakukan aksi berbahaya menggunakan papan luncur di jalan raya seperti yang tular di media sosial sejak semalam.
Menerusi video tular itu, kejadian berkenaan dipercayai berlaku di laluan berbukit Jalan Baru, di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata video berdurasi 47 saat itu dikesan pihaknya semalam, selepas dimuatnaik pemilik akaun Facebook @Arief Why Pocong Pocong.
“Aksi individu yang menggunakan papan luncur itu boleh membahayakan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Kaedah-kaedah kawalan Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikroboliti) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Polis sedang mengesan seorang individu yang melakukan aksi berbahaya menggunakan papan luncur di jalan raya seperti yang tular di media sosial sejak semalam. pic.twitter.com/uRcYeSqKIB
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 7, 2024
Kamarul Rizal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta hubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di talian 04-8664122.
“Atau boleh hubungi pegawai penyiasat di talian 013-3312026,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.