comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis kesan warga emas hilang di Tampin

TAMPIN: Polis sedang mengesan seorang warga emas yang tidak pulang ke rumah sejak pagi semalam dan gagal dihubungi keluarga.

Warga emas terbabit Ali Akbar Khatib Ali, dikatakan keluar dengan memandu sebuah kereta kira-kira jam 9.30 pagi semalam, dari rumah di Jalan Pawang Layau, Batu 12, Kampung Air Gelugor, Gemencheh, di sini.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Amirudien Sariman anaknya menyatakan lelaki berusia 70 tahun itu memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda HRV berwarna merah gelap.

“Dapat maklumat mengenai orang hilang iaitu seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun. Pakaian terakhir yang dilihat dipakai bapa pengadu ialah kemeja berbelang biru kelabu, seluar warna biru dan berkopiah.

“Pengadu menghubungi nombor telefon bimbit ayahnya tetapi gagal dihubungi. Ayah pengadu masih belum pulang ke rumah dan masih gagal dihubungi,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal dapati punca lelaki keluar rumah dan tidak pulang dipercayai kerana berlaku salah faham dengan keluarga.

“Kali terakhir telefon bimbit warga emas itu boleh dihubungi kira-kira 1 tengah hari semalam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan orang hilang ini diminta untuk menyalurkannya ke Ibu Pejabat Daerah (IPD) Tampin di talian 064431999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini