comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis KL terima sejumlah 400,000 aduan sepanjang 11 bulan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerima tidak kurang daripada 400,000 laporan atau pengaduan polis bagi tempoh 11 bulan pertama antara Januari hingga November tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim mengakui pihaknya berhadapan cabaran besar untuk memuaskan hati pihak yang mengadu dengan angka tinggi itu jika dibandingkan dengan kekuatan kontinjennya sekitar 9,200 anggota.

Namun Azmi berkata, beliau berbangga dengan komitmen ditunjukkan pegawai dan anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur apabila setakat ini mencatatkan kadar pertuduhan ke mahkamah yang tertinggi dibandingkan dengan lain-lain kontinjen di seluruh negara.

“Itulah standard yang sudah ditonjolkan, dibina dan akan dikekalkan pegawai Polis Kontinjen Kuala Lumpur. Kita melakukan sesuatu dengan terbaik sekali.

“Saya sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur suka menyatakan di sini rasa bangga saya kerana Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur sudah berjaya mencatatkan peratusan sebanyak 67 peratus kadar pertuduhan ke atas aduan yang dirujuk kepada mereka.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) pula mencatat peratusan yang lebih tinggi iaitu 73 peratus manakala Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mencatatkan 97 peratus kadar pertuduhan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Apresiasi Sukan Polis Kuala Lumpur bersama rakan media dan rakan kolaboratif, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, secara peribadi berdasarkan kepada pengalamannya sebagai seorang pegawai kanan polis yang sudah pun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) lebih 35 tahun, tiada satu pun perkara menjadi kebanggaan seorang ketua apabila semua anak buahnya dapat memberikan prestasi tinggi seperti dicatatkan Polis Kuala Lumpur di sepanjang tahun ini.

“Tentu sahaja mengekalkan prestasi terbaik bukannya sesuatu yang mudah. Saya sangat berharap untuk tahun 2023 nanti Polis Kuala Lumpur akan dapat meningkatkan lagi prestasi demi nama baik pasukan PDRM.

“Sementara media adalah contoh terbaik untuk polis mengungkap atau pun maksudkan apa yang dipanggil ‘Polis dan masyarakat berpisah tiada’. Kongsilah berita seumpama ini dengan data dan fakta yang tepat untuk diketahui masyarakat supaya kita akan sama-sama membina dan membangunkan negara secara cekap dan berkesan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini