Tumpuan :
Nasional

Polis, MKN, KKM putuskan isu pelajar di Golok bersekolah di Malaysia

FOTO:NSTP

KOTA BHARU: Polis Kelantan akan membincangkan isu ratusan pelajar yang tinggal di Golok, Thailand tetapi bersekolah di Malaysia dengan pelbagai agensi berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perbincangan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Kita akan bincang dan putuskan dalam masa terdekat susulan penguatkuasaan tegas yang akan dikenakan terhadap pengguna pangkalan haram di Sungai Golok bermula 1 Disember ini,” katanya ketika dihubungi BH.

Kelmarin media melaporkan, polis Kelantan akan menahan mana-mana individu yang menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok untuk merentasi sempadan Malaysia-Thailand, berkuat kuasa 1 Disember depan.

Mereka akan ditahan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000, jika sabit kesalahan.

Susulan tindakan tegas ibu bapa di sini dan Golok, Thailand memohon pelajar diberi kelonggaran menggunakan pangkalan haram di Sungai Golok bagi memudahkan anak mereka untuk ke sekolah.

Mereka mendakwa, ini kerana ratusan pelajar tinggal di Golok namun bersekolah di Malaysia, dan begitu juga mereka yang tinggal di sini namun bersekolah di Thailand.

Katanya, tindakan tegas itu akan menyukarkan anak mereka untuk ke sekolah setiap hari memandangkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dibuka agak lewat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini