Tumpuan :
Nasional

Polis mohon bantuan kesan kanak-kanak 12 tahun hilang

Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi yang dilaporkan hilang dari kediaman keluarganya sejak semalam.- Foto sumber orang awam

KUALA LUMPUR: Polis meminta bantuan orang awam untuk mengesan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang disedari hilang dari kediaman keluarganya di Seksyen U3, Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan kehilangan kanak-kanak itu diterima daripada bapanya pada jam 7.40 malam tadi.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan anaknya disedari tiada di rumah kira-kira jam 9 pagi semalam dan akhirnya tampil membuat laporan selepas kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah.

“Orang hilang (OH) dikenali sebagai Dhiya Azzahra Muhamad Alhalifi berusia 12 tahun dan beralamat di Jalan Dinar F U3/F, Seksyen U3, Shah Alam, Selangor.

“Kanak-kanak itu berketinggian 150 sentimeter dengan berat badan 45 kilogram dan berkulit sawo matang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Hafiz berkata, pada hari disedari hilang kanak-kanak itu dilihat memakai seluar denim, baju ‘hoodie’ dan tudung berwarna hitam serta berkasut sukan warna-warni.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak ini diminta segera menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

“Maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Hizam Talib di talian 012-6550262,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini