IPOH: Polis Perak tidak menolak untuk menggunakan saluran diplomatik termasuk melalui Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menangkap suspek warga Indonesia yang dipercayai terbabit dengan penemuan mayat bayi yang ditemui ditanam di parkir berlantai simen sebuah rumah di Taman Sri Rokam, di sini pada 28 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ketika ini usaha mengesan suspek iaitu seorang wanita warga Indonesia iaitu penyewa terakhir rumah berkenaan masih dijalankan.
Menurutnya, ketika ini tidak dapat dipastikan keberadaan wanita itu sama ada masih di Malaysia atau sudah pulang ke negara asalnya.
“(Suspek) belum lagi dikenal pasti. Kita tengah jejaki warganegara Indonesia yang dipercayai mendiami rumah berkenaan dan siasatan masih lagi diteruskan.
“Kita belum buat pengesahan sama ada dia sudah balik atau masih berada di Malaysia. Bagaimanapun polis akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) selain menggunakan semua (kekuatan) riskan kita.
“Mungkin kalau kalau kita kenal pasti subjek itu sudah balik (ke negara asal), maka kita akan menggunakan saluran diplomatik melalui Interpol,” katanya dalam sidang media selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bulan September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi berkata hasil bedah siasat mendapati punca kematian bayi itu adalah tidak dapat dipastikan berikutan keadaan pereputan mayat (uncertained due to decomposition).
Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang pernah menyewa di rumah tempat penemuan mayat bayi di bawah lantai simen itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.