Oleh : Juliana Sharin dan Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang akan dipanggil memberi keterangan jam 9 pagi esok berhubung kenyataan beliau yang dipercayai mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor minggu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi Buletin TV3 sebentar tadi berkata, tarikh baru itu ditetapkan selepas panggilan memberi keterangan semalam terpaksa ditangguhkan ke esok atas faktor kesihatan.
“Beliau minta tangguh ke esok hari kerana beliau tidak sihat,” jawabnya ringkas.
Beliau bagaimanapun enggan memaklumkan lokasi pertemuan.
Siasatan dibuat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Ditanya mengenai Ahli Parlimen Marang itu menghadiri pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, ia diluar pengetahuan pihaknya.
“Perjumpaan beliau (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dengan Tun Mahathir adalah di luar dari pengetahuan kami,” katanya.
Semalam, Tan Sri Abdul Hadi dilihat bersama empat Menteri Besar Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir di kediaman beliau pada jam 5.30 petang, Sabtu.
Mereka ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.