comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Polis Peronda’ bawa penonton selami dunia kepolisan lebih mendalam

 

Oleh: Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Mengisahkan pengalaman serta cabaran Unit Kereta Peronda, Unit (MPV), dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Polis Diraja Malaysia, (PDRM) drama bersiri Polis Peronda akan membawa penonton menyelami dunia kepolisan dengan lebih mendalam.

Drama terbitan Skop Productions Sdn. Bhd itu diarahkan dengan barisan pengarah yang sinonim dengan produksi kepolisan iaitu Datuk Yusof Haslam, Syafiq Yusof dan C. Kumaresan.

Membawa barisan pelakon antaranya Shah Iskandar, Puteri Sarah, Ali Reza, Ramona Zamzam, Raja Afiq, Soffwany Yusoff dan Kodi Rasheed, Polis Peronda menyajikan kisah Unit MPV dan UBR berdepan cabaran dalam pelbagai senario ketika bertugas.

“Kita mengetengahkan tentang kisah-kisah kehidupan, kerjaya mereka berhadapan dengan orang awam dengan pelbagai ragam manusia dan isu-isu semasa yang berlaku, isu-isu jenayah yang ada kaitan dengan jabatan polis dan juga isu-isu keluarga.

“Walaupun mereka polis peronda mereka juga manusia biasa berhadapan dengan pelbagai masalah keluarga, ” jelas pengarah bersama Polis Peronda, Datuk Yusof Haslam kepada Buletin TV3.

Dalam memastikan kejituan, Pengarah, Syafiq Yusof menjelaskan setiap pelakon yang membawa watak anggota polis, diberi latihan oleh PDRM sebelum penggambaran.

Polis Peronda turut memaparkan kisah kehidupan dan kerjaya anggota polis peronda serta memperlihatkan pelbagai aksi menarik.

Majlis Promosi Khas Drama Bersiri Polis Peronda yang turut disiarkan secara langsung di Malaysia Hari Ini pagi tadi.

Bersempena dengan bulan istimewa ulang tahun TV3, ‘Inspirasi Generasi’, TV3 drama siri aksi kepolisan Polis Peronda itu akan mula ditayangkan pada 28 Jun setiap Jumaat, jam 10.00 malam di TV3.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini