comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis putus sebahagian jari manis digigit penagih dadah

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis putus sebahagian jari manis akibat digigit seorang lelaki yang berada di bawah pengaruh dadah di hadapan pos pengawal Balai Polis Sungai Besi, di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, ketika kejadian jam 10.15 malam, beberapa anggota polis sedang bertugas sebelum didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan.

“Suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru masuk ke dalam perkarangan balai polis.

“Malah, suspek juga membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota polis berpangkat Koperal berusia 40 tahun itu bersama dua lagi anggota cuba menahan suspek yang kemudian bertindak menggigit jari manis di tangan kanan anggota polis tersebut sehingga putus di bahagian hujung.

Zam Halim berkata suspek kemudian berjaya ditahan dan hasil saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin.

Katanya, suspek yang direman sehingga Jumaat ini pernah mendapatkan rawatan psikatrik pada 2020 namun tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

Loading...
Terkini