MELAKA: Polis merampas 20 tan kelongsong peluru yang diproses secara haram di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai, di sini, Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya turut menahan 22 warga asing dari enam negara disyaki terbabit dengan aktiviti memproses bahan itu.
Jelasnya, rampasan dan penahanan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah 23 Oktober lalu, jam 5.30 petang hasil maklumat awam dan risikan pihaknya.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati 20 tan kelongsong peluru itu hendak dieksport ke luar negara, manakala warga asing ditahan dari China, India, Bangladesh, Vietnam, Myanmar dan Pakistan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai timbunan pelbagai jenis kelongsong peluru di kawasan tengah kilang dengan anggaran berat 20 tan. Kilang terbabit juga beroperasi secara haram.
“Melalui soal siasat ke atas tangkapan, didapati kilang berkenaan memproses kelongsong peluru selama hampir empat bulan dan hasil pemprosesan akan dihantar ke luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Christopher berkata satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 55B dan 39(b) Akta Imigresen.
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan memiliki peluru.
“Bagi kesalahan mengaji warganegara asing, tertuduh boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan jika disabitkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.