comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis Sabah kenalpasti 10 kawasan ‘hotspot’ PRU-15

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengklasifikasikan 10 kawasan Parlimen sebagai kawasan panas atau ‘hotspot’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di negeri ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, semua kawasan berkenaan akan diberi kawalan keselamatan yang lebih ketat bagi memastikan proses pilihanraya berjalan lancar.

Katanya, antara kawasan berkenaan adalah Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan, Papar, Kudat, Libaran, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau.

“Pihak PDRM mengenal pasti 10 kawasan hotspot dan akan memberikan kawalan keselamatan lebih ketat bagi memastikan tiada insiden tidak diingini berlaku.

“PDRM Sabah juga menasihatkan semua penyokong mana-mana parti politik yang hadir semasa penamaan calon supaya tidak menimbulkan sebarang provokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Idris berkata, penyokong juga dinasihatkan supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan yang menghalang lalu lintas selain tidak menggunakan dron di pusat penamaan calon.

Katanya, semua calon, ejen serta penyokong diminta supaya sentiasa mematuhi sepenuhnya sekatan-sekatan seperti dinyatakan dalam Akta Pilihan Raya 1954.

Dalam pada itu, Idris turut mengenal pasti 86 kawasan sebagai kawasan yang sukar dilalui menggunakan kenderaan biasa dan memerlukan bantuan perkhidmatan helikopter bagi tujuan penghantaran peti undi.

“Antara kawasan berkenaan adalah Parlimen Beluran, Pensiangan, Kudat, Kinabatangan, Sipitang, Tenom, Kota Marudu, Ranau, Penampang dan Kota Belud serta Semporna,” katanya.

Sepanjang PRU-15 ini, PDRM Sabah mengerahkan seramai 7,028 pegawai dan anggota polis untuk menjalankan tugas.

PDRM turut menerima bantuan seramai 4,370 petugas daripada Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan 604 lagi daripada Sukarelawan Polis Diraja Malaysia (SPDRM).

Loading...
Terkini