comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis sahkan tumpahan minyak punca kereta terbabas

FOTO: Tular

KLANG: Polis mengesahkan terdapat kesan tumpahan minyak diesel di lorong kanan di Persiaran Tengku Ampuan Rahimah dari arah Bukit Tinggi ke menghala ke bulatan Simpang Lima di sini yang menyebabkan beberapa buah kereta terbabas, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, lokasi kemalangan adalah jalan sehala berselekoh dan mempunyai tiga lorong.

“Terdapat kesan tumpahan minyak diesel di lorong paling kanan dan sehingga kini, hanya seorang pemilik kenderaan yang terbabit tampil membuat laporan kemalangan di Balai Polis Trafik, Klang Selatan.

“Kemalangan membabitkan beberapa kenderaan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Bagaimanapun, siasatan juga dijalankan dari sudut jenayah sekiranya terdapat unsur-unsur khianat dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, tersebarnya satu rakaman dari papan pemuka sebuah kereta yang menunjukkan kereta terbabas serta berpusing ketika melalui jalan berkenaan.

Menerusi rakaman 30 saat itu, dilihat beberapa buah kereta lagi turut terbabas dipercayai akibat permukaan jalan yang licin.

Hoong Fong berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan boleh segera tampil membantu siasatan.

Katanya, kesan tumpahan minyak sudah dibersihkan oleh pihak penyelenggaran jalan projek Transit Aliran Ringan (LRT3) dan jalan berkenaan kini selamat digunakan.

“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati semasa memandu terutamanya di waktu malam dan mematuhi peraturan dan undang lalu lintas yang ditetapkan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini