comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis selesai lakukan pengecaman lokasi anak Abuya dikurung – KPN

KUALA LUMPUR: Polis selesai menjalankan proses pengecaman lokasi tempat Ummu Atiyah yang juga anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Muhammad di Perkampungan Maahad Sayuti, Batu Hampar, Perak yang didakwa menjadi lokasinya dikurung selama sebulan, hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika mengesahkan perkara itu, berkata proses itu dijalankan bersama Ummu Atiyah yang turut dibawa bersama ke lokasi.

Menurut beliau, Ummu Atiyah terlebih dahulu hadir ke Balai Polis Padang Gajah pada jam 11 pagi tadi untuk dirakam keterangan.

“Hasil rakaman percakapan, wanita itu menyatakan bahawa dia dikurung di dalam sebuah rumah dua bilik lebih kurang tempoh satu bulan.

“Pengadu juga menyatakan telah cuba larikan diri namun telah ditangkap dan dikurung semula,” katanya kepada BH, hari ini.

Razarudin berkata, bagi tujuan siasatan lanjut, Ummu Atiyah kemudian dibawa ke Perkampungan Maahad Sayuti, Batu Hampar oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bersama pegawai penyiasat dan jurugambar polis.

“Pengadu menunjukkan rumah yang telah digunakan oleh pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) untuk mengurungnya sebelum pengadu dihantar kepada neneknya ke Kedah.

“Pengecaman di lokasi kejadian oleh pengadu berjalan lancar,” katanya.

Terdahulu, Ummu Atiyah, 41, dalam satu sidang media di ibu negara, kelmarin mendakwa dia menjadi mangsa keganasan dan rogol seorang pemimpin GISBH yang ingin menikahinya secara paksa.

Dia turut mendakwa dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar, Perak.

Berikutan itu, Razarudin semalam dilaporkan berkata polis sudah membuka kertas siasatan susulan pendedahan dibuat Ummu Atiyah berhubung dakwaan dikurung itu.

Beliau turut mengesahkan Ummu Atiyah sudah membuat laporan polis mendakwa dirinya dipaksa berkahwin dengan salah seorang pemimpin GISBH di Turkiye, sebelum dibawa pulang ke negara ini dan dikurung di sebuah perkampungan GISBH di Batu Hampar.

Katanya, pengadu memberitahu perkampungan terbabit dihuni ramai remaja dan orang dewasa dalam lingkungan usia 13 dan ke atas.

Razarudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan empat lelaki yang terbabit mengurung mangsa bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini