
SUBANG JAYA: Bayi lelaki berusia dua bulan mengalami pendarahan di kepala selepas diserang sawan ketika dimandikan di rumah pengasuh di Puchong, kelmarin.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, bapa mangsa berusia 28 tahun menerima panggilan daripada pengasuh memberitahu anaknya menangis dan terkena sawan, pada jam 10.30 pagi.
Menurutnya, bapa mangsa kemudian terus bergegas ke rumah pengasuh dan membawa anaknya ke Hospital Cyberjaya.
“Mangsa dimasukkan ke zon merah dan pemeriksaan ke atas mangsa mendapati berlaku pendarahan di bahagian kepala.
“Siasatan mendapati bayi itu dihantar ke rumah pengasuh sejak dua bulan lalu,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Beliau berkata, rakaman percakapan awal bapanya mendapati mangsa dan abangnya dihantar ke rumah pengasuh itu dalam keadaan baik pada pada 8.10 pagi.
“Mangsa ditidurkan di buaian dalam bilik bayi yang disediakan khas untuk cucu serta mangsa.
“Pada 9.30 pagi, mangsa bangun dari tidur dan pengasuh memandikannya dalam sinki yang terdapat dalam bilik sama. Mangsa mula menangis dan tidak berhenti menangis sehingga sawan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.