comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis siasat dakwaan pempengaruh media dipukul waktu dalam tahanan polis

Polis membuka siasatan terhadap dakwaan seorang pempengaruh media sosial yang menyatakan dia dipukul dan dicederakan oleh polis sewaktu dia dalam tahanan. Foto tangkap layar tular.

IPOH: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pempengaruh media sosial berhubung dakwaan yang dia dipukul dan dicederakan oleh polis sewaktu dalam tahanan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata siasatan terhadap dakwaan itu dibuka mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan berpandukan satu laporan polis yang dibuat oleh pempengaruh berkenaan pada 9 Januari lalu ketika dia sedang ditahan.

Kata Mohd Yusri, pihaknya turut mengesan hantaran yang ditularkan di media sosial mengenainya selain video sama turut memperlihatkan pempengaruh itu mendakwa polis seolah-olah memberi perlindungan kepada operasi kedai nombor ekor haram dengan orang yang menjadi pemberi maklumat mengenai jenayah itu dipukul dan dihadapkan di mahkamah.

Menurutnya, polis mengesahkan pempengaruh berkenaan yang dikenali sebagai M Vikram Naidu sememangnya ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 9 Januari lalu atas laporan yang dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa diugut oleh enam lelaki dengan cara meminta wang perlindungan sekiranya tidak mahu disusahkan.

Mohd Yusri berkata atas laporan wanita itu satu kertas siasatan dibuka dengan Vikram turut dituduh mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada 15 Januari lalu.

Vikram bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.

“Semasa dalam tahanan pihak polis pada 9 Januari lalu, penama membuat satu laporan yang mendakwa beliau dipukul dan dicederakan oleh pihak polis ketika dalam tahanan.”

“Polis membuka kertas siasatan dan menyiasat dakwaan penama itu.”

“Penama juga sudah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan (atas dakwaan) kecederaan terbabit (disebabkan dipukul polis),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Yusri dalam pada itu menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang penyebaran tuduhan terhadap polis, selain melaporkan sebarang kegiatan jenayah mengikut saluran yang sepatutnya bagi diambil tindakan.

“Ianya kerana dibimbangi kegiatan yang membelakangkan undang-undang ini sebenarnya hanya sebagai helah untuk menakut-nakutkan orang ramai bagi kepentingan tertentu,” katanya.

Menerusi video yang ditularkan menerusi laman TikTok dalam Bahasa Tamil itu, turut disertakan adalah keterangan (caption) video yag ditulis dalam Bahasa Melayu dengan menyatakan polis melepaskan pesalah tauke judi nombor ekor haram namun menangkap pembongkar berkenaannya.

“Lepas pesalah tauke nombor ekor! Tapi tangkap pembongkar pulak! Kes Salah Laku Polis di Ipoh,” kata maklumat itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini