comscore
Tumpuan :
Nasional

Polis siasat dakwaan pusat kuarantin GISBH di kawasan terpencil untuk indoktrinasi, penderaan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat dakwaan yang dibuat melalui akaun Facebook Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) bahawa wujud pusat kuarantin GISB Holdings (GISBH) di beberapa lokasi dalam dan luar negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata pusat kuarantin terbabit dipercayai digunakan untuk aktiviti indoktrinasi serta penderaan mental terhadap ahli GISBH yang dikatakan bermasalah.

PUKAS dalam hantaran berkenaan mendakwa, kaedah kuarantin itu dipercayai berasal daripada amalan lama yang diperkenalkan pengasas Al-Arqam dan Rufaqa, Abuya Ashaari.

Ia juga mendakwa melalui amalan itu, jemaah yang dikatakan bermasalah diasingkan ke lokasi terpencil untuk dikuarantin, dilarang bergaul atau bercakap dengan sesiapa, serta ditempatkan di bilik kecil atau ruangan khas untuk ‘muhasabah diri’.

Selain itu, Razarudin berkata, PDRM juga sedang giat mengesan aset yang dikaitkan atau dimiliki oleh GISBH bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, PDRM telah membuka 10 kertas siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 susulan laporan berkaitan dakwaan buruh paksa yang diterima daripada beberapa bekas pekerja syarikat itu.

Mengulas kenyataan beliau pada 25 September lalu bahawa rangkaian GISBH tidak pernah membayar cukai berkaitan perniagaan mereka pula, Razarudin berkata, ia merujuk kepada tahun taksiran terkini yang sedang disiasat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dengan kerjasama PDRM.

“Siasatan ini memfokus kepada beberapa syarikat bawah GISBH yang dipercayai gagal mematuhi beberapa peruntukan Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

PDRM melancarkan Op Global pada 11 September lalu dengan menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH, susulan dakwaan pembabitan dalam aktiviti eksploitasi kanak-kanak dan penyalahgunaan agama.

Sejak Op Global bermula, lebih 300 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan, manakala 572 mangsa berjaya diselamatkan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini