Tumpuan :
Nasional

Polis siasat kereta pengiring VIP rempuh kenderaan awam di Lebuhraya PLUS

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kemalangan membabitkan kenderaan orang awam dengan kenderaan anggota polis yang dipercayai sedang mengiring orang kenamaan (VIP) di Kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) Sabtu lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung insiden berkenaan.

“Untuk makluman, maklumat kemalangan yang ditularkan adalah semasa petugas PDRM mengiringi orang kenamaan di Lebuhraya Utara-Selatan.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku pada 16 November di KM 259 Lebuhraya Utara-Selatan menghala selatan melibatkan dua kenderaan berdasarkan laporan diterima,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Yusri berkata kes masih di bawah siasatan JSPT bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan digalakkan memberi maklumat untuk melengkapkan siasatan,” katanya.

Sebelum ini, tular di Tiktok sebuah video berdurasi satu minit empat saat yang memaparkan sebuah kenderaan petugas yang sedang mengiringi VIP merempuh kereta jenis Proton Saga.

Dalam rakaman itu, memaparkan kereta pengiring berkenaan disyaki memandu laju sewaktu hujan sebelum melanggar bahagian belakang Proton Saga berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini