PETALING JAYA: Polis membuka kertas siasatan susulan penemuan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang tidur di kaki lima sebuah pangsapuri di Sungai Way di sini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit yang juga anak penghuni pangsapuri itu sudah mendapatkan rawatan di hospital dan sedang menunggu laporan sama ada berlaku penderaan atau tidak.
“Setakat ini belum ada tangkapan dilakukan dan kita sedang mendapatkan keterangan doktor dan setelah pengesahan laporan perubatan diterima, tindakan selanjutnya akan diambil,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Sementara itu, wakil penduduk yang enggan dikenali berkata, dia menyedari kejadian pada 4.30 petang Khamis setelah gambar kanak-kanak terbabit dikongsi dalam kumpulan WhatsApp.
“Penduduk kemudian meminta bantuan saya untuk memeriksa keadaan adik terbabit dan bimbang dengan keselamatannya, saya terlebih dahulu membuat laporan polis bagi meminta bantuan untuk memeriksa dia (mangsa) di kediaman keluarganya.
“Ketika itu, tiga anggota polis bersama saya ke kediaman keluarga adik terbabit sekitar 6.30 petang dan seperti melihat ada kesan luka di tubuhnya,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.