Tumpuan :
Nasional

Polis siasat penyanyi rap dakwa dirakam secara rahsia

Foto hiasan

SUBANG JAYA: Siasatan berhubung dakwaan seorang penyanyi rap yang mendakwa dirinya dirakam secara rahsia ketika serbuan yang dijalankan di sebuah pusat kecantikan dan kesihatan di Subang Jaya, Rabu lalu akan dijalankan secara menyeluruh.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, siasatan mendapati sebelum itu serbuan dijalankan pasukan Bahagian Operasi Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di lokasi berkenaan.

“Ketika serbuan dilakukan, pengadu mengarahkan anggotanya untuk merakam video dan mengambil gambar bagi membuktikan aktiviti yang berkaitan dengan urutan selain melakukan pemeriksaan lesen perniagaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan sah MBSJ dan menyalahi undang-undang di bawah Undang-undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan 2013,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga menjalankan siasatan menghalang penjawat awam kerana pasukan serbuan juga tidak diberikan kad pengenalan diri oleh seorang wanita tempatan selain individu itu mempertikaikan tindakan dokumentasi yang dijalankan.

“Siasatan awal mendapati wanita terbabit turut melakukan provokasi selain merakam tugas pihak serbuan menggunakan telefon bimbit miliknya.

“Pengadu kemudiannya bersama suspek turut membuat pemeriksaan telefon bimbit anggota terbabit yang didakwa merakam video sebelum mendapati tiada gambar video atau gambar wanita itu yang dirakam,” katanya.

Katanya, pengadu turut menjelaskan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mengikut peruntukan undang-undang kepada wanita berkenaan.

“Laporan polis dibuat pengadu berkaitan serbuan yang ditularkan dalam media sosial manakala wanita terbabit turut sama membuat laporan berkaitan dakwaan telah dirakam ketika dirinya tidak berbaju semasa diurut.

“Siasatan dijalankan berdasarkan laporan kedua-dua pihak di bawah Seksyen 186/ 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Terdahulu, seorang penyanyi wanita mendakwa dirakam secara rahsia dalam serbuan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT) ketika sedang menerima khidmat urutan di SS14, Subang Jaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini